Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan kini giat merencanakan usaha untuk meminda beberapa akta termasuk Akta Koperasi 1993 bagi membolehkan koperasi di negara ini bergiat cergas dalam pelbagai bidang aktiviti yang mahu diceburi.

Katanya, usaha meminda akta itu sedang diusahakan dan sekiranya mendapat kelulusan di peringkat jemaah menteri, pindaan itu akan diusulkan di Parlimen dalam sesi sidang yang akan datang.

“Setiap koperasi masih perlu mengutamakan integriti yang tinggi walaupun beberapa kelonggaran akan diberikan.

“Landasan yang betul telah disediakan oleh kerajaan, sokongan dan juga bantuan telah pun diberikan oleh pihak kerajaan cuma usaha kesemua kepimpinan dan anggota koperasi akan menentukan sama ada sesebuah koperasi itu boleh berjaya atau sebaliknya,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Jalinan Mesra Koperasi 1Malaysia Berhad, di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Dr. Noor Zari Hamat.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Koperasi 1Malaysia Berhad, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Hamzah turut menyatakan empat perkara yang harus menjadi keutamaan semua koperasi di Malaysia iaitu pertama, perlunya pengurusan kewangan yang cekap dengan segala nisbah dipatuhi dan kedua, mempelbagaikan aktiviti ekonomi dengan mencari peluang-peluang baharu yang boleh diceburi.

Beliau menambah, koperasi juga harus mematuhi segala perundangan yang ada dan keempat, barisan kepimpinan setiap pertubuhan perlu cekap dari segi tadbir urus bagi memastikan keberkesanan serta impak penubuhan sesebuah koperasi itu berjaya. - UTUSAN ONLINE