Perdana Menteri berkata, kedua-dua aspirasi tersebut boleh dicapai menerusi kepimpinan koperasi yang memiliki kesungguhan untuk mendukung pengisian misi dan visi koperasi itu sendiri.

Menurut beliau, gerakan kope­rasi dilihat terbukti mampu menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara dan menyediakan peluang-peluang perniagaan serta pekerjaan kepada rakyat.

“Sehubungan itu, saya ingin melihat gerakan koperasi kita terus berkembang secara terancang lagi tersusun.

“Asas kepada kejayaan gerakan koperasi tentunya berpunca daripada kepemimpinan koperasi itu sendiri yang berpegang kepada nilai-nilai asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Keempat Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi Koprojaya, Muhammad Ammir Haron.

Sementara itu, Najib yang juga Penaung Koprojaya berkata, koperasi di Malaysia merupakan sebuah sektor yang cukup besar dengan jumlah keahlian melebihi tujuh juta orang serta jumlah aset sebanyak RM130 bilion.

Di peringkat global jelas beliau, kajian International Co­operative Alliance pada 2014 mendapati ko­perasi menggajikan seramai 250 juta orang pekerja iaitu hampir sembilan peratus daripada kese­luruhan populasi pekerja dunia.

“Dalam kelompok negara maju G20 yang merangkumi 85 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, koperasi menggajikan pada kadar lebih tinggi iaitu sehingga 12 peratus, justeru, adalah tidak mustahil sektor koperasi negara menjadi pencipta peluang pekerjaan atau majikan yang terbesar selepas sektor swasta dan sektor awam,” katanya.

Katanya, beliau tertarik de­ngan cara koperasi tersebut ber­kembang walaupun bermula da­lam keadaan serba kekurangan.
Najib berkata, Koprojaya dilihat berjaya menambah aset, memperoleh keuntungan dan membayar dividen sebanyak 10 peratus kepada ahli-ahlinya sejak 2014.

Beliau mengambil contoh sek­tor koperasi di Jepun yang menyaksikan sektor tersebut memainkan peranan utama dalam menjana pekerjaan baharu melalui gerakan buruh, pewujudan usahawan kelas menengah dan pembangunan komuniti.