Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini, terdapat 88 Koperasi Orang Asli di seluruh negara membabitkan 20,000 orang ahli.

“Kita faham koperasi komuniti seperti Koperasi Orang Asli ini tidak mungkin akan menjadi penggerak utama yang akan menyumbangkan perolehan yang tinggi kepada gerakan koperasi di negara ini.

“Justeru, Angkasa mencadang­kan koperasi kecil seperti ini bergabung di bawah satu konsortium. Apabila ada konsortium dan diuruskan oleh mereka yang profesional, pendapatan koperasi dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup Bengkel Hala Tuju Koperasi Orang Asli Pahang 2017 di sini, hari ini.

Seramai 25 orang daripada 17 buah Koperasi Orang Asli di ne­geri ini menyertai bengkel ber­kenaan.

Abdul Fattah berkata, konsortium Koperasi Orang Asli telah pun diwujudkan di peringkat negeri ini dan perlu digerakkan pula di peringkat kebangsaan.

“Angkasa akan membantu bukan sahaja dalam aspek pengurusan tetapi juga dana menerusi pinjaman melalui agensi di bawah Angkasa,” katanya.

Mengenai Bengkel Hala Tuju Koperasi Orang Asli, beliau memberitahu, program tersebut diadakan setiap tahun bagi memberi pendedahan kepada Koperasi Orang Asli mengenai perkemba­ngan gerakan koperasi dan program yang dilaksanakan Angkasa.

“Selain memberikan penjelasan, kita juga menggerakkan Koperasi Orang Asli supaya menyediakan rancangan perniagaan bagi koperasi masing-masing.

“Apabila pulang daripada bengkel ini, mereka ada sesuatu yang hendak dilakukan untuk meningkatkan pendapatan koperasi masing-masing,” ujarnya.