Menurut Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, konvensyen yang akan diadakan di Hotel Tanera, Bangi itu antara lain akan membincangkan resolusi bagi merangka Dasar Koperasi Negara dan kaedah terkini membangunkan gerakan koperasi dalam negara.

“Angkasa memberi fokus kepada pembangunan modal insan yang begitu penting dalam melaksanakan segala kerja dan tindakan untuk melonjakkan pencapaian gerakan koperasi ke persada dunia.

“Angkasa juga mengharapkan agar sebarang dapatan dan resolusi yang dijana menerusi konvensyen ini akan berupaya meningkatkan sumbangan perolehan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, konvensyen tersebut bakal menghimpunkan para pemimpin yang mewakili lebih seribu buah koperasi dari seluruh negara selain wakil kementerian, agensi kerajaan, institusi kewangan dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Malah, kata beliau lagi, resolusi yang terhasil melalui konvensyen ini juga akan dikaji dan diteliti supaya dipertimbangkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan sebagai pelan tindakan kepada gerakan koperasi Malaysia sehingga tahun 2030.

Konvensyen itu akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan pada 12 Januari manakala timbalannya, Datuk Dr. Hatta Md. Ramli akan hadir untuk menerima resolusi dalam majlis penutupannya pada keesokan harinya. - UTUSAN ONLINE