Afdual yang mula menyimpan menerusi tabung SSPN-i Plus sejak tahun lalu berkata, simpanan tersebut adalah untuk masa depan pendidikan empat orang anaknya.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan sangat gembira de­ngan kemenangan ini malah simpanan ini akan digunakan untuk membolehkan anak-anak me­lanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi nanti.

“Saya harap lebih ramai ibu bapa menabung sejak awal pendidikan anak-anak mereka dan bukan sekadar menyimpan untuk mendapatkan ganjaran,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah WOW! SSPN-i Plus Suku Tahun Siri Kedua 2016/2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah: Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi), Mastura Mohd. Khalid dan Timbalan Ketua Eksekutif (Kewangan dan Khidmat Soko­ngan), Wan Mustapha Yusoff.

Turut disampaikan dalam maj­lis tersebut ialah ‘Anugerah Ejen Online PTPTN Terbaik’ yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 kepada beberapa ejen cemerlang dalam mempromosikan produk-produk perbadanan berkenaan.

Mengulas lanjut, Afdual berkata, masyarakat pada masa ini perlu mula menabung untuk pendidikan dengan segera dan tidak hanya sekadar bergantung kepada pinjaman semata-mata.

“Ambil peluang ini untuk menyertai SSPN-i Plus kerana ia me­­rupakan pilihan tabungan pendi­dikan terbaik untuk masa depan anak-anak mereka,” katanya.