Demikian luahan beberapa kontraktor bumiputera yang kebanyakannya memegang lesen G1 atau dikenali sebagai Kelas F dahulu.

Bukan cuba menagih simpati tetapi itulah hakikat yang berlaku. Sudahlah tiada projek kerajaan yang diterima, malah terdapat beberapa isu lain lagi yang membuatkan kehidupan kontraktor bumiputera semakin terhimpit.

Bagi seorang kontraktor pembinaan bumiputera, apa lebih mendukacitakan adalah wujudnya campur tangan ahli politik yang dikatakan menggunakan ‘kuasa’ dimiliki dengan mengagihkan projek kerajaan berlandaskan kepartian.

Dia yang menjalankan perniagaan di Negeri Sembilan memberitahu, fenomena berkenaan semakin berleluasa hingga membuatkan kontraktor bumiputera menanggung kerugian besar dan akhirnya tidak mampu lagi menjalankan operasi.

“Saya nampak masalah ke­telusan membabitkan pembahagian tender semakin serius. Ada ahli politik yang menggunakan orang tertentu untuk mendapatkan projek kerajaan. Kita tengok luaran syarikat berlainan yang menang projek tetapi realitinya mereka orang sama dan mempunyai pertalian dengan sesete­ngah ahli politik.

“Memang ramai kontraktor bumiputera sekarang tidak puas hati apabila perkara sebegini berlaku. Siapa yang tiada ‘kabel’ jangan harap akan menerima projek-projek daripada kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Lebih mengejutkan kata kontraktor berkenaan, aktiviti mengumpul lesen oleh ‘orang tengah’ untuk mengaut keuntungan besar turut berleluasa.

Dia mendedahkan, ada orang luar yang bertindak sebagai ‘kaki’ kumpul lesen kontraktor bumiputera dan menyerahkan kepada ahli politik dan pegawai kerajaan terlibat untuk menyusun projek tertentu.

“Apabila ada projek baharu, ahli politik ini akan mengarahkan wakil untuk mengumpul lesen kontraktor dan mengaut untung ‘atas angin’.

“Pengumpul lesen ini kadang-kadang orang luar yang bukan kontraktor pun tapi ditugaskan untuk mengumpul lesen kontraktor kononnya bagi pembahagian projek. Sudahnya kami hanya menerima sebahagian sahaja untung,” ujarnya lagi.