Operasi selama dua jam di tapak projek premis perniagaan bernilai kira-kira RM7.4 juta di Kampung Ladang Tok Pelam itu disertai seramai sembilan orang pegawai yang diketuai Timbalan Pengarah (Operasi), Sarimah Awang.

Menurut Pengarah jabatan ber­kenaan, Ir. Dasuki Mohd. Heak, pada masa sama, pemaju terbabit turut melakukan kesalahan lain iaitu tidak mendaftar dengan JKKP walaupun pernah diminta berbuat demikian sebelum ini.

Beliau berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati pihak pemaju tersebut melakukan pelbagai kesalahan fizikal termasuk sembilan kesalahan kritikal sehingga boleh mengancam keselamatan para pekerjanya.

Jelas beliau, antara kesalahan itu ialah tiada laluan ke tempat kerja dengan selamat, perancah yang dibina tidak selamat, tiada pelindung kepala, tepian terbuka dan tidak dihalang, kekemasan tempat kerja, menggunakan tangga kayu dan tiada prosedur kerja selamat untuk bekerja di tempat tinggi.

“Pihak pemaju terbabit diarah hentikan operasi serta merta bermula hari ini dan mereka diberi tempoh sehingga mereka membuat penambahbaikan ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kontraktor berkenaan di dapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang memperuntukkan denda RM50,000 atau dua tahun penjara.

Bagi kesalahan tidak mendaftar, syarikat terbabit juga dikenakan kompaun di bawah Seksyen 35 (1) Akta Kilang dan Jentera (AKJ) (Pindaan 2006) yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000.

“Mulai hari ini, kita terpaksa kunci pagar kawasan tapak bina ini dan sekiranya dalam tempoh itu, mereka masih berdegil melakukan kerja, pemaju boleh didenda RM50,000 atau dua tahun penjara di bawah Seksyen 48 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” jelasnya.

Dasuki berkata, Operasi Tapak Bina kali ini dilancarkan sejak 24 Ogos lalu hingga esok yang turut diadakan serentak di seluruh negara bagi memastikan tapak bina berada dalam keadaan selamat dan sihat mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139).

Menurutnya, setakat hari ini, pihaknya mengeluarkan 45 notis, 12 kes menyita perancah, dua tapak bina diarah tutup operasi dan empat lagi dikenakan kompaun yang kesemuanya membabitkan 20 tapak binaan di negeri ini.