Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), Datuk Ismail Ishak berkata, peruntukan tersebut melibatkan sebanyak 80 syarikat kawalan keselamatan yang berdaftar di bawah persatuan berkenaan.

“Selain masalah hutang kontraktor kawalan keselamatan, kita juga merayu agar kerajaan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan bayaran kontraktor-kontraktor usahawan kecil lain termasuk kontraktor kelas F, kontraktor bekalan makanan bermasak dan kontraktor pembersihan sekolah-sekolah.

“Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini, namun, sejak enam bulan lalu, pihak kawalan keselamatan sekolah tidak menerima sebarang bayaran sehingga menyebabkan terdapat beberapa tunggakan lain seperti bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

DPUKM terdiri daripada 99 peratus kontraktor Melayu yang memegang 800 lesen kawalan keselamatan yang berdaftar di bawah Persatuan Perkhidmatan Pengawal Keselamatan Malaysia (PPKKM).

Ismail berkata, pihaknya te­lah menghantar surat makluman kepada Kementerian Pendidikan dua minggu lalu dan berharap kerajaan dapat membayar tunggakan dengan kadar segera bagi membolehkan syarikat kawalan keselamatan terus beroperasi.

“Kita telah menghantar surat pemakluman tentang tunggakan ini kepada kementerian dua ­minggu lalu bagi memastikan mereka dapat menjelaskan hutang tersebut secepat mungkin.

“Sekiranya kerajaan tidak membayar tunggakan ini dalam tempoh satu hingga dua bulan ini, kemungkinan ada syarikat kawalan keselamatan terpaksa gulung tikar,” katanya.

Tambah Ismail, sebahagian kontraktor terlibat juga telah diambil tindakan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) kerana tidak membayar gaji pekerja.