Menurut Perdana Menteri, keputusan itu diambil memandangkan pulangan menurun yang semakin ketara kepada negara berbanding kos penganjuran kejohanan.

Katanya, pada peringkat awal penganjuran, F1 telah dapat mempromosikan negara sebagai destinasi bagi acara sukan bertaraf dunia selain sebagai destinasi pilihan pelancong global.

“Namun sudah sampai masa­nya kerajaan menilai pe­nganjuran kejohanan acara F1 dengan mengambil kira perubahan yang berlaku sejak kita menganjurkan perlumbaan pada tahun 1999.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan Sepang International Circuit (SIC) mengenai impak kewangan F1 kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam blog najibrazak.com hari ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan terpaksa menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi setiap tahun.

Namun begitu, tambahnya, pulangan daripada menganjur­kan kejohanan F1 semakin berkurangan dari segi penonton, pengunjung dan jumlah kedatangan pelancong asing semasa perlumbaan berlangsung sejak beberapa tahun yang lalu.

“Pada tahun 1999, hanya 16 buah negara menjadi tuan rumah kepada perlumbaan berprestij ini termasuk dua negara Asia, tetapi kini telah meningkat kepada 21 buah negara dengan enam negara Asia, sekali gus mengakibatkan penurunan pulangan kepada penganjur dan negara,” ujarnya.

Menurut Najib, penamatan penganjuran itu membolehkan kerajaan meningkatkan pembia­yaan dalam sukan permotoran bagi pembangunan bakat, infrastruktur, pemindahan kemahiran dan pengetahuan.

Katanya, kerajaan juga akan menggunakan peruntukan yang ada bagi kegunaan perlumbaan lain seperti MotoGP dan go-kart, membina litar perlumbaan khas di Sungai Petani, menaik taraf kemudahan SIC di samping membantu pemandu profesional negara menjadi pemandu F1.

“Litar Sepang akan terus menjadi tuan rumah kepada acara permotoran utama seperti MotoGP dan banyak lagi perlumbaan bertaraf nasional, serantau dan antarabangsa yang akan terus menarik pengunjung ke Malaysia,” katanya.