Persembahan julung kali Koir Kebangsaan hasil kerjasama Persatuan Rebana Keras dan JKKN yang menampilkan karya agung Tan Sri P. Ramlee itu berjaya menarik minat penonton dengan persembahan yang kreatif dan menghiburkan pada malam pertama pementasannya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, persembahan itu membuka mata banyak pihak yang sebelum ini beranggapan persembahan koir lebih tertumpu kepada lagu-lagu patriotik dan kurang menonjol dari segi kreativiti.

“Apabila melihat persembahan ini saya lihat ada satu daya baru yang boleh meningkatkan bidang koir sebagai tarikan kepada kumpulan lain.

“Lagu-lagu yang didendangkan membawa nostalgia terutama apabila diberi nafas baru. Lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee memang mengusik jiwa dan ketika mendengarnya, saya terkenangkan bagaimana P. Ramlee mencipta dan membela lagu-lagu itu dan hari ini dipersembahkan dalam bentuk yang kreatif,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan persembahan itu malam tadi.

Yang hadir sama, Pengarah Vokal dan Pengarah Persembahan, Syafinaz Selamat serta Ke­tua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli.

Persembahan kira-kira dua jam itu menyaksikan 21 lagu dipersembahkan termasuk Gelora, Azizah, Di Manakan Ku Cari Ganti, Dengar Ini Cerita dan Getaran Jiwa.

Persembahan turut mempamarkan video babak-babak lakonan P.Ramlee daripada filem lakonannya.

Konsert Wajah diilhamkan daripada pelbagai karakter Tan Sri P. Ramlee dan menghimpunkan elemen jazz, klasik, tango, acapella dan rock.