Konsert Yngwie Malmsteen Live In Malaysia anjuran RSPP Media dengan kerjasama Panggung Asia serta dipromosikan Lampuneon Entertainment itu akan bermula pada pukul 9 malam.

Istimewanya konsert pemain gitar lagenda berasal dari Stockholm, Sweden yang kini berusia 55 tahun dan terkenal sejak era 80-an itu adalah yang pertama di Malaysia.

Populariti Malmsteen terutama dalam kalangan pemuzik tempatan tidak boleh disangkal lagi dan beliau secara tidak langsung mempengarusi corak permainan gitaris rock dan metal tempatan antaranya Allahyarham Samad dan Man Kidal (Lefthaned) selain Karl (Cromok).

Kehebatan Malmsteen atau nama sebenarnya Lars Johann Yngve Lannerback bermain gitar adalah dengan menggabungkan elemen muzik klasik dengan kelajuan dan irama metal menjadikannya begitu istimewa serta menjadi pujaan peminatnya.

Beliau menjadi inspirasi gitaris metal dan pemangkin bagi fenomena gitar pada zaman '80-an yang dikenali sebagai shredding dengan fokus utama muzik adalah petikan gitar secara pantas menggunakan teknik berbanding penulisan lagu.

Dipengaruhi muzik daripada penggubah klasik seperti Bach, Paganini dan Vivaldi, Malmsteen bertanggungjawab memperkenalkan genre neo-klasik kepada dunia rock hasil gabungan antara bunyian gitarnya dengan karya melodi muzik klasik baroque.

Beliau yang pernah diiktiraf Jimmy Fallon sebagai seorang lagenda dan CBS NEWS sebagai gitaris terbaik dunia pernah menerbitkan sebuah buku bertajuk Relentless: The Memoir pada 2013 selain menghasilkan 20 album studio dan empat album live.

Tiket-tiket untuk menonton konsert ini berharga RM900 untuk kategori VVIP, RM300 (CAT 1) dan RM250 (Rock Zone) serta boleh didapati menerusi www.ticketpro.com.my atau sebarang pertanyaan menerusi 03-78807999.

Radio Rase 102.3 FM dan majalah Musikeras yang kedua-duany dari Indonesia merupakan media rasmi dan konsert ini merupakan satu-satunya persembahan Malmsteen di Asia. - UTUSAN ONLINE