Persembahan konsert khas sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ke-85 itu dianjurkan oleh Yayasan Luhur Nurani .

Berangkat ke konsert berkenaan ialah Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom.

Seramai tujuh penghibur hebat membuat persembahan dalam konsert itu seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Yusni Hamid, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan,  Datuk Rossa, Datuk David Arumugam dan Datuk Leonard Tan.

Mereka menyampaikan 21 buah lagu-lagu popular masing-masing selain lagu-lagu kegemaran Sultan Pahang sendiri.

Konsert diraja itu juga bertujuan mengumpul dana berbentuk kewangan bagi disalurkan untuk membantu anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.

Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin turut mendeklamasikan puisi dalam konsert tersebut yang menerapkan elemen istimewa apabila menggunakan laras bahasa istana dan adat istiadat diraja sepenuhnya.

Menariknya, ini merupakan kali pertama Istana Budaya mengeluarkan tiket paling mahal iaitu berharga RM5,000 yang dikhaskan untuk 100 tempat duduk dengan kesemuanya habis dijual.

Bersempena dengan penganjuran konsert itu juga, Pameran Diraja Raja dan Rakyat Berpisah Tiada turut diadakan di Istana Budaya bermula Rabu lalu.

Sebanyak 85 keping foto eksklusif Sultan Ahmad Shah dipamerkan dalam pameran yang berlangsung selama empat hari itu.