Selain mengambil kesempatan untuk menonton persembahan Nancy pada 30 dan 31 Julai ini, kehadiran pelancong-pelancong Arab juga dijangka menghabiskan masa berkunjung ke destinasi-destinasi pelancongan yang ditawarkan Malaysia.

Konsert Nancy di negara ini dianjurkan agensi pelanco­ngan Amwaj Travel & Tours yang menjangkakan sambutan luar biasa diterima daripada peminat penyanyi ternama itu.

Menurut Ketua Pegawai Kewangan Amwaj Travel & Tours, Zulkifli Mohamad, pemilihan Nancy ke Malaysia dibuat berdasarkan populariti penyanyi jelita itu yang mempunyai 17 juta pengikut di laman sosial peribadinya.

Justeru, syarikat berkenaan kata beliau, optimis kehadiran Nancy akan meningkatkan kedatangan pelancong asing ter­utama dari negara-negara Arab.

“Penganjuran konsert ini memberi peluang kepada pelancong Arab khususnya untuk melancong sambil berhibur.

“Kita yakin, pemilihan artis ini amat bertepatan dalam usaha untuk melonjakkan se­mula kedatangan pelancong a­sing dari negara terbabit ke Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Konsert Nancy Ajram Live In Kuala Lumpur yang mendapat sokongan Tourism Malaysia itu akan berlangsung selama dua malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Berdasarkan rekod sebelum ini, penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Ah W Noss dan Akhasmak Ah itu pernah me­ngadakan konsert di Jordan, Mesir, Dubai dan Perancis.

Menurut Zulkifli, biarpun pengumuman konsert Nancy baru saja dibuat, namun lebih 1,000 tiket sudah terjual yang kebanyakannya ditempah oleh pelajar-pelajar Asia Barat yang belajar di negara ini.