Konsert yang berlangsung selama tiga hari itu berjaya menarik ramai peminat genre muzik berkenaan untuk memenuhi Panggung Sari, Istana Budaya di sini.

Penerbit konsert, Siti Rohayah Attan berkata, rata-rata peminat yang hadir berpuas hati dengan persembahan yang dibarisi pelopor irama pop yeh yeh seperti Datuk A. Rahman Hassan, Jeffrydin dan Maria Bachok.

Menurutnya, kehadiran dua penyanyi generasi muda, Aiman Tino dan Amira Othman menye­marakkan lagi pentas berprestij itu dengan dendangan lagu-lagu malar segar pop yeh yeh.

“Alhamdulillah, sambutan malam ini cukup menggalakkan apabila kita dapat lihat ramai penonton tidak kira lapisan masyarakat dan umur hadir memberi sokongan terhadap Konsert Gegar Pop Yeh Yeh ini.

“Ternyata genre muzik ini masih punya magis dan peminat tersendiri. Kita mahu muzik se­perti ini tidak lapuk dek zaman kerana itu kita selitkan Aiman dan Amira untuk menarik peminat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam ini.

Dalam pada itu, Aiman memberitahu, dia amat bangga dan teruja kerana berpeluang untuk berkongsi pentas dengan penyanyi-penyanyi senior yang cukup berpengalaman.

“Saya banyak belajar daripada penyanyi-penyanyi senior sepanjang latihan untuk konsert ini. Saya harap konsert seperti ini dapat diadakan dengan lebih kerap kerana peminatnya cukup ramai,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menyaksikan konsert kerjasama antara Istana Budaya dan CTRA Production itu boleh mendapatkan tiket yang dijual de­ngan harga RM50, RM80, RM150 dan RM180.

Peminat boleh membuat tem­pahan tiket dengan melayari www.airasiaredtix.com atau terus ke laman Facebook: ctraproduction.