Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, oleh demikian, satu kertas kabinet akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Februari ini agar usaha berkenaan terus diangkat sebagai agenda nasional.


Katanya lagi, bermula tahun ini juga pelan strategik bagi menjadikan Malaysia sebagai model pentadbiran Islam terunggul yang progresif dan inklusif menjelang 2025 akan mula dilaksanakan.


“Pelan strategik ini mengariskan tujuh kluster iaitu perundangan dan kehakiman, pendidikan dan pembangunan insan, dakwah dan media dan sosio ekonomi.


“Tiga lagi kluster adalah pengurusan haji dan pensijilan halal, pengurusan masjid dan penyelidikan dan budaya maqasid dengan setiap satunya mempunyai peranan tersendiri bagi mewakili semua agensi agama,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.


Pada masa sama, Mujahid menambah, sebanyak enam agensi agama telah digabung dan diselaras di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang hanya membabitkan bentuk operasi dan tidak menyentuh soal dasar. 


Katanya, enam agensi terlibat adalah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), TVAlhijrah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).


“Selain agensi yang diselaraskan oleh Jakim, terdapat juga agensi agama lain dikawal selia terus oleh Jabatan Perdana Menteri.


“Agensi terbabit adalah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya. - UTUSAN ONLINE