Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dasar dilaksanakan kerajaan membantu merangsang ekonomi negara berkembang pada suku pertama tahun ini walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu.

Walau bagaimanapun kata beliau, ramai yang tidak menilai kejayaan kerajaan daripada aspek berkenaan.

‘‘Faktor seperti kejatuhan harga minyak membawa kepada ketidaktentuan dalam ekonomi sedang membangun, tetapi Malaysia Alhamdulillah, perkembangan ekonomi kita masih sihat dan mapan.

‘‘Apabila kita berjaya, syarikat korporat dapat keuntungan dan membayar zakat,’’ katanya ketika berucap dalam majlis penyampai­an zakat berjumlah RM2.6 juta kepada 6,347 golongan asnaf dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Yang hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Selain zakat beliau dan keluarga, zakat itu turut disumbangkan oleh Bank Rakyat, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Sapura Holdings Sdn. Bhd. dan Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd.

Yang turut menyampaikan zakat adalah Roadcare (M) Sdn. Bhd., UDA Holdings Berhad, Lembaga Tabung Haji, SME Bank, Wekajaya Sdn. Bhd., Affin Islamic Bank Berhad dan Yayasan Basmi Kemiskinan.

Selepas majlis itu, Perdana Menteri kemudian menyampaikan zakat kepada penerima ibu tunggal di Dewan Komuniti Majlis Daerah Pekan di sini.

Menurut Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, konsep zakat memainkan peranan yang besar dalam Islam kerana dapat memberi manfaat dari dua sudut.

Kata beliau, para penerima zakat mendapat kelegaan dan sedikit sebanyak meringankan beban mereka untuk menguruskan kehidupan seharian manakala pihak yang mengeluarkan zakat pula dapat membersihkan jiwa dan harta.

Sementara itu, seorang pene­rima zakat, Mohamad Zahar Zainordin, 44, berkata, pemberian zakat bukan sahaja meringankan beban perbelanjaan menyambut Hari Raya Aidilfitri, malah dapat digunakan untuk membaiki rumahnya yang rosak dilanda ribut dua minggu lalu.

‘‘Alhamdulillah, saya berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri dan agensi-agensi korporat yang mengeluarkan zakat ini,’’ katanya yang berasal dari Kampung Jambu di sini.

Seorang lagi penerima, Jarina Saad, 43, dari Kampung Merchong di sini berkata, rakyat negara ini bertuah kerana mempunyai pemimpin seperti Najib yang tidak pernah lupa mengeluarkan zakat kepada rakyat yang memerlukan bantuan.