Terbuka kepada semua, syarat pertandingan adalah cukup mudah di mana pembaca dikehendaki menghantar foto-foto menarik yang dirakamkan di lokasi acara Sukan SEA di seluruh negara.

Sebanyak lima pemenang akan dipilih setiap hari ,bermula 19 hingga 30 Ogos ini.

Majlis perasmian pertandingan aksi foto disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abdul Kadir Nik Mohamad sempena Majlis Penyerahan Tajaan Sukan SEA 2017 di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor; Penolong Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Sieh Kok Chi dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Turut sama hadir adalah bekas atlet negara, Tan Sri M. Jegathesan, Datuk Nashatar Singh Sidu, bekas ratu trek negara, G. Shanti dan ramai lagi.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, akhbar terbitan Kumpulan Utusan, Utusan Malaysia, Kosmo! serta Utusan Online bakal menyiarkan laporan menyeluruh dari semasa ke semasa Sukan SEA 2017 apabila menerima tajaan sebanyak RM1.4 juta daripada syarikat korporat dan agensi kerajaan.

Antara yang tampil menyumbang adalah syarikat penerbangan, AirAsia, Farmasia, Ice Watch, Astro Arena dan Kementerian Belia dan Sukan. - UTUSAN ONLINE