Beliau berkata bagaimanapun ia masih terlalu awal untuk menjangkakan akan berlaku sebarang kesan terhadap hubungan perdagangan antara Malaysia-India dan Malaysia-Pakistan.

"Sebenarnya, buat masa ini, masih terlalu awal untuk kita menjangkakan bahawa krisis yang berlaku antara India dan Pakistan ini akan memberi kesan terhadap perdagangan dengan Malaysia.

"Tetapi semestinya kita kena bersedia memahami potensi konflik dengan negara-negara yang ada urusan dagang dengan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pameran Sulung Lukisan-lukisan Badariah Abdul Hamid, di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan sedang mengikuti perkembangan terbaru itu secara dekat.

"Namun saya percaya rakan-rakan saya antaranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Datuk Darell Leiking), Menteri Luar (Datuk Saifuddin Abdullah), Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) akan mengikuti perkembangan itu secara dekat kerana ini satu insiden yang dalam konteks hubungan dagang yang kita tidak jangkakan.

Malah, Malaysia dengan Pakistan adalah rakan dalam Kumpulan G8 dan sudah tentu kita mempunyai hubungan yang dekat. Oleh itu, kita akan tengok kesan terdekat apabila krisis ini akan memberi implikasi pada perdagangan terhadap kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ketegangan yang berlaku antara New Delhi dan Islamabad kian meningkat sejak serangan pengganas di Pulwan, India pada 14 Feb lepas yang mengorbankan 40 nyawa dan menyebabkan kecederaan kepada puluhan orang.

Ketegangan kian memuncak apabila kedua-dua pihak menembak jatuh jet tempur satu sama lain, baru-baru ini.- BERNAMA