RAMLAH ADAM
RAMLAH ADAM

Pakar sejarah yang juga penulis buku teks Sejarah tingkatan tiga dan lima, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, mereka yang benar-benar pejuang pada masa itu ialah askar Melayu, polis serta anggota keselamatan lain untuk memerangi komunis.

Katanya, ideologi komunis yang dibawa masuk dan cuba disebarkan di seluruh negeri jelas telah ditolak oleh Bristish dan orang Melayu pada masa itu.

“Hari ini, generasi muda terutama yang ingin menjadi aktivis sama ada dia tidak tahu sejarah atau tidak pernah belajar sejarah perlu mengetahui dan baca mengenai sejarah ini. Sejarah yang berlaku tidak boleh diubah.

“Tidak kisahlah soal hari ini mereka hendak jadi liberal atau apa-apa sekali pun, jangan kacau sejarah. Sejarah khususnya buku teks telah ditulis oleh individu yang membuat kajian serta mahir yang dipilih oleh Kementerian Pelajaran.

“Ia bukan isu politik tetapi sejarah sebenar yang berlaku pada masa lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai forum bertajuk Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? yang dianjurkan Imagined Malaysia bagi membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan sama ada pihak kerajaan perlu mengubah sejarah zaman darurat.

Dalam forum tersebut, beberapa panelis menggesa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri dalam naskhah rujukan utama pelajar sekolah itu.

Menurut aktivis PH, Fadiah Nad­wa Fikri, perjuangan puak berhaluan kiri tersebut merupakan fakta yang tidak dimasukkan di dalam buku teks sedia ada walaupun para pejuang berkenaan turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.

Dia yang juga seorang peguam dilaporkan berkata, fakta tersebut perlu dimasukkan ke dalam buku teks Sejarah bagi memberi kefahaman kepada pelajar dan masyarakat mengenai Malaysia sebagai sebuah negara.

Mengulas lanjut, Ramlah yang juga Pe­ngarah Pusat Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, buku teks sejarah yang ditulisnya juga memasukkan mengenai komunis iaitu berdasarkan peristiwa yang berlaku.

Katanya, buku teks itu ditulis berdasarkan silibus Kementerian Pelajaran yang memasukkan semua kumpulan yang terlibat dalam peristiwa besar bersifat kebangsaan.

“Kita tulis sejarah politik, ekonomi, kerajaan-keraaan Melayu, tokoh-tokoh dan semua kaum. Malah peristiwa berkaitan komunis juga ditulis dalam buku teks sejarah iaitu bila kewujudannya, bermula daripada mana, apa perjuangannya semua ditulis,” katanya. - UTUSAN ONLINE