Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kompromi elak pergaduhan lebih serius

KEMATANGAN dan kompromi antara pasangan suami isteri amat penting dalam sebarang proses membuat keputusan termasuk isu balik ke kampung siapa dahulu.

Andrew Mohanraj

Menurut Pakar Perunding Psikitri yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Datuk Dr. Andrew Mohanraj, adalah menyedih­kan apabila perbinca­n­gan mengenai perkara itu menye­bab­kan pergadu­han dan hubungan keluarga menjadi kucar-kacir sehingga membawa kepada penceraian.

“Hanya kerana perkara remeh, rumah tangga boleh menjadi porak poranda. Perselisihan faham juga memberikan contoh buruk kepada kanak-kanak yang mengharapkan ibu bapa memberi bimbingan dalam kehidupan.

“Akhirnya sambutan hari raya tidak membawa kegembiraan kepada seluruh keluarga, tidak kira kampung siapa yang mereka pergi dahulu,” katanya.

Justeru, katanya, keputusan balik ke kampung siapa dahulu mestilah usaha bersama dan bukan keputusan sebelah pihak sahaja.

“Ini menuntut suami isteri menghormati pandangan pasangan mereka dan sedar bahawa perkahwinan itu adalah kompromi. Lihatlah kebolehan untuk berkompromi itu sebagai satu kelebihan dan bukannya kelemahan.

“Pastikan fikiran anda terbuka apabila membuat keputusan tentang balik kampung siapa dahulu,” ujarnya.

Katanya, suami atau isteri sepatutnya bersetuju dengan semua alasan diberikan oleh pasangan yang mengutamakan kampung masing-masing.

Paling penting, katanya, perkahwinan memerlukan pengorbanan diri (self sacrifice). Tiada siapa yang suka hidup dengan pasangan yang tidak berkompromi dalam pendiriannya.

Menurutnya, adakala suami memberi laluan kepada isteri dan ada ketikanya pula, isteri perlu memberi laluan kepada suami.

Katanya, jika pasangan tidak dapat memutuskan dengan baik pilihan kampung mana yang dikunjungi dahulu, yang terbaik adalah memilih sistem yang telahpun diuji dalam masyarakat iaitu penggiliran.

“Sistem itu telah terbukti berkesan dan dilihat adil,” katanya.

Menurutnya, mereka perlu sedar bahawa perkahwinan adalah kompromi dan bukan membuat keputusan seorang diri ketika zaman bujang dahulu.

“Kini, setiap pasangan mesti meletakkan perkahwinan serta kebahagiaan anak-anak menjadi keutamaan. Kunci untuk membuat apa jua keputusan adalah kompromi.

“Kita bernasib baik kerana saiz negara ini khususnya di Semenanjung Malaysia tidak begitu besar, selain kemudahan jalan raya dan lebuh raya yang baik,” jelasnya.

Katanya, keadaan itu membuatkan masih ada masa untuk berkunjung ke kampung pasangan masing-masing pada hari raya pertama.

“Jadi, tidak masuk akal mengapa isu balik ke kampung siapa dahulu mesti menjadi masalah yang boleh menyebabkan kekecohan rumah tangga,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain