Adnan Abu Hassan

Adnan, 57, dikejarkan ke hospital pada pukul 12 tengah malam tadi selepas mengadu sakit dada dan sukar bernafas sebelum ditempatkan di Unit Kecemasan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Menurut Pengurus Artis & Repertoire Luncai Emas Sdn.Bhd, Sham Amir Hussain, pada masa ini Adnan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.

“Sejurus selepas dia mengadu sakit dan sukar untuk bernafas, dia dibawa ke hospital oleh ambulans dan ditempatkan di unit kecemasan pada pukul 2 pagi tadi.

“Keadaan beliau sangat kritikal ketika ini selepas doktor memberi­tahu otaknya sudah kekurangan oksigen selain denyutan jantung semakin lemah. Malah, buah pinggang dan paru-parunya telah dijangkiti kuman.

“Beliau kini perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepanjang masa,” katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Sham memohon agar mereka yang mengenali beliau mendoakan kesihatannya agar kembali pulih seperti sedia kala.

“Saya harap peminat dan mereka yang pernah bekerja dengan beliau mendoakan dan sedekahkan al-Fatihah supaya keadaan kembali stabil dan sihat sejahtera,” katanya.

Terdahulu, Adnan pernah dimasukkan ke hospital yang sama minggu lalu sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya bertambah teruk sehingga membataskan pergerakannya.

Antara rakan artis yang melawat beliau ialah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Misha Omar, Nora Ariffin, Fauziah Latiff dan Johan Nawawi.

Adnan merupakan antara komposer unggul dan berpengaruh pada era 80-an hingga awal tahun 2000 serta telah membantu menaikkan nama-nama besar penyanyi tanah air seperti.

Antara lagu popular yang pernah dihasilkan beliau ialah Jerat Percintaan nyanyian Siti Nurhaliza, Di Persimpangan Dilema (Nora) dan Bunga-Bunga Cinta (Misha Omar).