Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, de­ngan pembukaan kompleks tersebut, sebanyak 333 bilik di Hotel Tabung Haji Sepang yang bertaraf lima bintang juga mula berope­rasi.

Katanya, Kompleks Tabung Haji di Kuching, Sarawak pula dengan hotel bertaraf empat bintang dijangka siap sepenuhnya pada April ini.

“Hotel Tabung Haji di Sepang telah 100 peratus siap pembinaannya, sekarang dalam proses membeli dan membawa perabot masuk ke hotel tersebut manakala hotel di Kuching tinggal lagi 40 peratus untuk siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pengumuman Hibah Tabung Haji 2017 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Kompleks Islam di sini hari ini.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Johan berkata, Tabung Haji telah membelanjakan seba­nyak RM356 juta bagi pengurusan haji pada tahun lalu yang mana sebanyak RM298 juta adalah subsidi haji dan RM58 juta merupakan kos tidak langsung iaitu perkhidmatan.

“Sejak 10 tahun lalu Tabung Haji telah menanggung subsidi haji hampir RM2 bilion walaupun kos haji akan meningkat seba­nyak 15 peratus kepada RM22,450 untuk seorang jemaah haji Malaysia pada 2018.

“Untuk tahun ini, keseluruhan subsidi haji yang akan ditanggung oleh Tabung Haji sebanyak RM400 juta,” katanya.

Beliau berkata, Tabung Haji akan terus memfokuskan kepada pelaburan teras dalam pelbagai sektor untuk tahun ini, antaranya merangkumi bidang kewangan Islam, perladangan, hartanah dan perhotelan.

Menurutnya, pendapatan ka­sar sebanyak RM4.5 bilion yang dicatatkan Tabung Haji pada tahun lalu, berbanding RM3.4 bi­lion pada 2016 jelas menunjukkan prestasi Tabung Haji berada pada landasan yang tepat.