“Kita sedia maklum mengenai stadium mini Jitra sedia ada tidak mampu menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah lebih-lebih lagi apabila penganjuran program sukan diadakan di sana.

“Malah saya dimaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju selepas dicadangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk menyediakan peruntukan untuk membina kompleks sukan di Kubang Pasu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan kerana inilah hadiah bermakna untuk rakyat Kedah khusunya di Kubang Pasu dan Jitra,” katanya dalam dialog Chit Chat TN50: This Is Jitra di Dewan Besar Institut Latihan Perindustrian Jitra.

Tambah beliau, pembinaan itu boleh dilaksanakan dengan sokongan terhadap aspirasi kerajaan dan masyarakat bersungguh-sungguh untuk terlibat dalam aktiviti sukan.

Dalam pada itu, Aminuddin turut memberitahu kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk membina stadium Kedah yang baharu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan Kedah memberitahu, cadangan itu turut dikemukakan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar.

“Selepas mesyuarat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, beliau bersetuju untuk meneliti cadangan untuk membina stadium baharu menggantikan stadium sedia ada.

“Cuma, cabaran semasa adalah kehadiran penonton ketika perlawanan yang besar lebih ramai sehingga 40,000 orang datang berbanding biasa iaitu sekitar 10,000 orang sahaja.

“Stadium sedia ada hanya boleh memuatkan sehingga 28,000 penonton dalam satu-satu masa.

“Justeru jika dibina stadium baharu nanti, penyokong bola sepak akan terus menyokong dan penuhkan stadium pada setiap perlawanan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE