Kesemua jemaah telah pun bermalam di Mina dari 10 hingga 13 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadah melontar di Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.

Hari Isnin merupakan hari terakhir untuk semua jemaah haji melakukan ibadah tersebut sebelum mereka bergerak ke Mekah untuk menyempurnakan tawaf dan sai di Masjidilharam.

Bagaimanapun ada sebahagian besar jemaah haji telah pun berada di Mekah untuk tujuan berkenaan selepas menyelesaikan ibadah itu untuk mendapatkan 'tahallul awal' dan 'tahallul thani'.

Tahallul awal dalam rangkaian ibadah haji adalah melepaskan diri dari larangan Ihram, setelah melakukan dua di antara tiga perbuatan berikut iaitu melontar Jamratul Aqabah dan bercukur; melontar Jamratul Kubra (Aqabah) dan tawaf Ifadah; tawaf Ifadah, Sai dan bercukur.

Manakala 'tahallul thani', pula adalah melepaskan diri dari keadaan Ihram setelah melakukan secara lengkap ketiga-tiga ibadah berikut iaitu melontar di Jamratul Kubra (Aqabah); bercukur dan tawaf Ifadah serta sai.

Dalam pada itu untuk ke kompleks berkenaan jemaah haji Malaysia akan melalui terowong Muassim yang baru dengan disediakan 'walkalator' bagi memudahkan ke kawasan melontar.

Khemah jemaah haji Malaysia adalah antara yang paling hampir berbanding dengan khemah jemaah haji dari negara lain untuk ke terowong ini.

Terowong baru sepanjang dua kilometer itu merupakan sambungan kepada dua buah terowong lama, yang dibina Kerajaan Arab Saudi.

Sebelum ini jemaah haji Malaysia yang mahu melontar jamrah akan masuk mengikuti terowong lama dan kemudian keluar menyusur di khemah-khemah negara lain.

Sering kali  selepas melontar jemaah kita selalu tersesat dalam perjalanan balik di khemah-khemah negara lain. Terowong ini membolehkan perjalanan jemaah haji Malaysia terus ke Jamrah dan balik semula ke khemah tanpa melalui kawasan perkhemahan jemaah negara lain yang dihuni jutaan jemaah haji negara lain.

Jarak antara khemah jemaah haji Malaysia dengan pintu masuk terowong cuma 500 meter dan panjang terowong lebih 2 kilometer dan jarak dari perkhemahan ke kompleks melontar adalah 3.5 kilometer sehala.

Sementara itu kesemua petugas media Tabung Haji juga telah tiba di Mekah hari ini untuk terus memberikan liputan perkembangan ketibaan jemaah haji Malaysia dari Mina. - UTUSAN ONLINE