Perdana Menteri kedua-dua negara, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Lee Hsien Loong yakin projek ikonik tersebut yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat negara masing-masing dapat dilaksanakan walaupun masa pembinaannya melepasi tarikh sasaran asal.

Keputusan dan langkah terbaharu itu diumumkan Najib dan Hsien Loong dalam sidang akhbar bersama selepas sesi Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura di sini.

Yang turut hadir antaranya ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Husni Zai Yaacob.

Najib berkata, projek HSR amat penting dan signifikan kepada ke­dua-dua negara serta perlu dibuat kajian terperinci namun pada masa yang sama perlu dipercepatkan.

“Pembinaan projek HSR ini mungkin akan mengambil masa kira-kira lima tahun, iaitu proses merekabentuk dan tender, masing-masing akan mengambil masa setahun. Jadi, kami berdua membuat keputusan apa-apa juga isu dua hala berkaitan HSR akan diselesaikan selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

“Apabila semua isu diselesaikan termasuk struktur dan pengurusan projek, model bisnes dan penglibatan kerajaan, kita akan umumkan tarikh baharu bagi projek ini, harap dapat hujung tahun ini,” katanya yang turut bersetuju dengan kenyataan rakan sejawatnya bahawa projek HSR itu merupakan game changer (pencetus perubahan) dan menarik minat ramai di peringkat global.

Sementara itu, Hsien Loong berkata, HSR tersebut merupakan projek mega dan memerlukan perincian dalam aspek kejuruteraan termasuk laluan, reka bentuk, siapa yang akan mengendalikan operasi­nya, struktur syarikat, sama ada syarikat daripada satu pihak atau dua-dua pihak.

“Selain itu, isu melibatkan kewangan juga harus diselesaikan, termasuk dari mana sumber pembiayaannya. Sekiranya daripada kerajaan, bagaimana ia akan dibahagikan antara kedua-dua pihak.

“Ada juga isu struktur perlu diselesaikan, contohnya adakah Malaysia dan Singapura membuat landasan masing-masing dan kita sambung di tengah-tengah? Adakah hanya sebuah syarikat sahaja untuk membina kedua-dua landasan itu atau kita perlu beberapa syarikat lain atau syarikat yang sama memiliki dan mengendalikan tren berkenaan,” katanya.

Menurutnya, perbincangan juga perlu memutuskan bagaimana landasan itu beroperasi, bagaimana pengurusan akan dilaksanakan dan penyelesaian terhadap masalah yang timbul kerana projek tersebut melibatkan rentas sempadan serta dua kerajaan.

Hsein Loong berkata, perkara itu bukan satu masalah dan boleh dilaksanakan kerana sebelum ini sudah ada projek rentas sempadan seperti kereta api laju dari London ke Paris dan China ke Hong Kong.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan stesen bagi projek HSR di pihak Singapura akan dibina di Jurong East yang termasuk dalam pelan transformasi untuk menjadikannya pusat serantau selain perindustrian dan kediaman.

Beliau berkata, Jurong East yang mempunyai pelbagai kemudahan seperti hotel, restoran dan kilang akan dihubungkan dengan tiga hingga empat laluan Mass Rapid Transit (MRT) yang turut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dengan mengambil masa selama setengah jam.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin mengakui Iskandar Malaysia merupakan wilayah strategik yang penting bagi kedua-dua negara dan menyambut baik kemajuan dicapai Kumpulan Kerja di bawah Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura (JMC).

Mengenai keputusan JMC untuk menjalankan kajian tentang kesesakan di Tambak Johor dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Najib dan Hsien Loong memuji usaha dilakukan Kumpulan Kerja Imigresen bagi JMC yang mahu mengurangkan kesesakan dan pada masa sama turut memberi perhatian terhadap aspek keselamatan.

Menurut kenyataan tersebut, Singapura juga akan melaksanakan sistem pemeriksaan automatik di semua kaunter motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas menjelang akhir 2016, berban­ding hanya suku daripadanya ketika ini yang mampu mempercepatkan pemeriksaan imigresen terhadap motosikal sehingga 30 peratus, sekali gus mengurangkan kesesakan. – UTUSAN