Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, operasi tersebut dilancarkan serta-merta sebaik sahaja pihak berkuasa Thailand menemukan beberapa buah kubur besar pendatang asing di dua kem milik sindiket pemerdagangan manusia di sekitar Padang Besar, Songkhla baru-baru ini.

Menurut beliau, kawasan yang diberi tumpuan adalah antara Wang Kelian, Perlis sehingga ke daerah Sadao, Thailand yang bentuk muka buminya dipenuhi hutan tebal serta berbukit-bukau.

“Apabila Thailand menjumpai kem-kem tersebut, kita juga turut melancarkan operasi di sebelah kawasan kita, kalau-kalau ada juga (aktiviti pemerdagangan manusia).

“Sekarang ini pasukan VAT 69 sedang membuat pemeriksaan dan insya-Allah, hujung minggu ini atau minggu depan saya akan umumkan apa yang kita temukan dalam pencarian ini,” katanya selepas merasmikan Program Community Policing di Kampung Rambai Lama di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Polis ne­geri, Datuk Mazlan Lazim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd. Bakri Mustapha.

Awal bulan ini, pihak berkuasa Thailand membongkar kegiatan pemerdagangan manusia yang boleh disifatkan sebagai antara yang terbesar di Asia Tenggara selepas menemukan beberapa buah kubur besar pendatang asing di lokasi hanya beberapa kilometer dari sempadan Malaysia.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, hasil mesyuarat antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand (RTP) di Phuket baru-baru ini, kedua-dua belah pihak bersetuju bekerjasama lebih erat menangani isu pemerdagangan manusia, penyeludupan serta mengesan penjenayah yang melarikan diri merentasi sempadan.