Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata, pembinaan kem tersebut di kawasan seluas 161.874 hektar bersebelahan Markas Briged Utara PGA Ulu Kinta dijadual bermula tahun depan.

Katanya, kem berkenaan akan dibina secara berperingkat dengan kos dianggar berjumlah RM208 juta.

"Selama 47 tahun Komando 69 menumpang kini masanya untuk memiliki kem sendiri dan kita bercadang menyediakan kediaman sekali tetapi permulaan kita adakan kompleks untuk pejabat serta kawasan latihan," katanya.

Muhammad Sabtu berkata demikian kepada pemberita, selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sayap Penerjunan Kepada Peserta Kursus Asas Payung Terjun Tektikal Siri 1/2016 di Padang Tembak Briged Utara, Ulu Kinta di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Muhammad Sabtu turut menyematkan sayap penerjunan kepada dua pegawai dan 29 anggota yang berjaya menamatkan kursus asas selama sebulan itu.

Sementara itu, Inspektor Jong Pit Chiao, 29, mencuri tumpuan apabila menjadi satu-satunya pegawai wanita yang menyertai kursus tersebut pada siri kali ini.

"Saya menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) April lalu, selepas itu saya bertugas di Komando 69 kemudian saya dipilih untuk mengikuti kursus ini," katanya.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu berharap pada masa hadapan lebih ramai anggota wanita akan mengikuti jejak langkahnya.

"Saya harap pasukan payung terjun akan bangun semula seperti dahulu dan fokus saya adalah untuk menyertai kursus selanjutnya agar dapat menjadi ketua pasukan payung terjun wanita," katanya. -BERNAMA