Ketuanya, Dr. Hanafiah Ayub berkata, program itu termasuklah mempromosikan pegawai sukan dan atlet UPM yang ba­nyak merekodkan kejayaan bukan sahaja untuk institusi pengajian tersebut bahkan negara ini.

“Kami ingin mencari ruang kerjasama yang boleh digunakan untuk menyalurkan maklumat mengenai atlet dan pegawai sukan serta diyakini mempu­nyai nilai berita seperti diperlukan media arus perdana.

“Kami beranggapan saluran yang boleh digunakan terhad kepada bidang sukan tetapi selepas perbincangan hari ini, dapat dikenal pasti bahawa banyak lagi bahagian lain untuk menyebarkan berita kami ada untuk dikongsikan,” katanya dalam lawatan ke Ibu pejabat UMMB, di sini hari ini.

Hanafiah memberitahu, sebelum ini Pusat Sukan UPM terbatas dalam menyampaikan berita kerana tidak mengetahui keperluan yang memenuhi kehendak media.

“Kami sering kali keliru de­ngan platform untuk mempromosikan sukan dalam media arus perdana, namun dalam lawatan kali ini banyak ruang kerjasama boleh dijalinkan untuk tujuan itu,” ujarnya.

Sementara itu, lawatan Hanafiah bersama 14 pegawai dan 12 pelajar disambut Penolong Pe­ngarang 2 Kosmo!, Jamdi Nasir dan Penolong Pe­ngarang Sukan Utusan Malaysia, Aizawati Ahmad serta bahagian korporat dan pemasaran Kumpulan Utusan.

Delegasi itu turut meluangkan masa kira-kira dua jam dalam sesi perbincangan selain melawat dan meninjau gerak kerja di Jabatan Pengarang Utusan Malaysia dan Kosmo!.