Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan rombongan pada pukul 4 petang disambut kira-kira 2,000 hadirin sebagai tanda sokongan usaha murni baginda mendekati rakyat sejak Sabtu lalu.

Turut hadir menyambut ketibaan baginda ialah Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli bersama-sama barisan Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, KMJ meninggalkan tiga mesej penting yang harus dihayati dan dibanggakan oleh semua.

Mesej pertama kata beliau, KMJ kini dilihat sebagai satu identiti besar negeri dan bangsa Johor yang menjadi kebanggaan rakyat.

“Budaya hidup kita yang bermuafakat, warisan seni dan sastera yang pelbagai, hatta keindahan alam semula jadi yang bernilai menggamit rasa damai semua pengunjung.

“Tambahan kepada semua ini, kini kita mempunyai satu lagi identiti besar iaitu Kembara Mahkota Johor. Satu-satunya acara tahunan tunggal yang tidak ada di mana-mana negeri lain di negara ini,” katanya dalam majlis penutupan KMJ 2017 tersebut.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday.

Mesej kedua kata Menteri Besar, KMJ merupakan satu cara bagaimana agenda pembangunan negeri sentiasa dilakukan secara bersama-sama.

“Seperti pernah saya tegaskan, banyak sekali agenda pemba­ngunan negeri ini yang dilakukan hasil sentuhan, ilham dan saranan Tuanku.

“Jadi, kita juga amat berharap yang edisi kali ini telah menjadi satu ruang dan peluang penting untuk Tuanku melihat dan mengamati sendiri, segala bentuk kemajuan pembangunan yang telah dan sedang berlaku di seluruh negeri,” katanya.

Selain itu jelas beliau, KMJ turut menjadi peringatan kepada seluruh bangsa Johor betapa bertuahnya dinaungi Sultan Ibrahim yang berjiwa rakyat apabila ba­ginda dan kerabat diraja berkenan mencemar duli menjenguk negeri setiap tahun.

Justeru, kerajaan negeri kata­nya, akan sentiasa memberi soko­ngan padu terhadap KMJ sejak dari kali pertama dianjurkan dan berharap agar dapat diteruskan de­ngan lebih berjaya dan meriah.