Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata laporan audit forensik yang dijalankan terhadap projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menunjukkan terdapatnya ketidakpatuhan prosedur perolehan dan kecuaian dalam menjaga kepentingan Felda.


“Felda diarahkan mengambil tindakan tatatertib dan/atau undang-undang ke atas mereka yang dinamakan dalam laporan audit itu, yang didapati cuai dalam menjalankan tugas, salah nyata dan tidak menjaga kepentingan Felda dan FICSB,” menurut kenyataan JPM hari ini.

KLVC merupakan projek yang sedang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) di kawasan tanah milik Felda.

Menurut kenyataan itu pasukan firma audit yang dilantik melakukan audit forensik terhadap projek berkenaan telah menyerahkan laporan akhir kepada JPM pada 2 Februari lepas.

JPM pula membentangkan laporan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku menteri bertanggungjawab ke atas Felda, pada 5 Februari.

"Perdana Menteri bersetuju bahawa satu jawatankuasa perunding ditubuhkan bagi mengkaji semula perjanjian antara FICSB dengan SPSB dan Synergy Promenade Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd (SPKLVCSB)," kata kenyataan itu.

Jawatankuasa perunding itu dianggotai Datuk Dr Yusof Ismail dari Kementerian Kewangan; Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid; Pengarah Besar Felda, Datuk Ab Ghani Mohd Ali; Timbalan Ketua Setiausaha JPM Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Datuk Seri Ahmad Husni Hussain.

JPM berkata Najib juga bersetuju supaya ditubuhkan satu jawatankuasa 'domestic enquiry' untuk mengambil tindakan ke atas cadangan dan syor yang dibuat dalam laporan audit itu.

Menurut kenyataan itu, kajian audit berkenaan bermula pada 4 Januari 2018 dengan merangkumi keseluruhan proses bermulanya cadangan projek pembangunan KLVC, proses pelaksanaan projek sehingga isu pindah hak milik tanah Felda.

Sebanyak 240 dokumen di pejabat Felda, FICSB, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terlibat dalam kajian audit itu.

Ia turut melibatkan temu bual dengan semua pegawai terlibat di agensi berkenaan.

JPM telah meneliti laporan audit itu dan bersetuju serta menerima laporan berkenaan, kata kenyataan itu.

"Secara keseluruhannya, laporan audit itu telah memenuhi objektif pengauditan yang ditetapkan dan kerajaan berpuas hati dengan laporan pasukan audit," kata JPM. - BERNAMA