Gesaan itu dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam titah ucapan Seri Paduka pada majlis santapan negara bagi meraikan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, di sini, malam ini.

Majlis yang berlangsung di Istana Negara itu merupakan sebahagian aturcara pada hari pertama lawatan negara empat hari Raja Salman di Malaysia, lawatan sulung baginda sejak menaiki takhta pada 23 Januari 2015.

Dalam mengalu-alukan kedatangan Penjaga Dua Masjid Suci itu dan rombongan baginda ke Malaysia, Sultan Muhammad V mengambil perhatian bahawa Kuala Lumpur dan Riyadh berkongsi pendirian yang sama berhubung keperluan untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang menjejaskan ummah.

“Dalam soal ini, Malaysia dan Arab Saudi selaku anggota aktif OIC perlu bekerjasama dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi umat Islam,” titah Seri Paduka.

Hadir pada majlis santapan negara itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri Kabinet.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Seri Paduka seterusnya menzahirkan harapan lawatan bersejarah Raja Salman itu akan membuka gerbang kerjasama khususnya dalam aspek ekonomi dan perdagangan berpaksikan nilai kepercayaan dan saling menghormati antara kedua-dua negara.

“Beta amat gembira melihat kesungguhan kedua-dua negara dalam meningkatkan hubungan perdagangan. Kerajaan tuanku (Raja Salman) adalah antara rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat,” titah Sultan Muhammad V.

Seri Paduka menarik perhatian bahawa jumlah perdagangan Malaysia-Arab Saudi pada 2016 meningkat 12.4 peratus kepada AS$3.17 bilion daripada AS$2.82 bilion pada 2015.

Walaupun perkembangan positif ini diraikan, namun Seri Paduka percaya masih banyak peluang dan manfaat boleh terus diusahakan secara bersama dalam menerokai peluang ekonomi antara kedua-dua kerajaan.

Sultan Muhammad V bertitah, kehadiran delegasi perniagaan yang besar dalam lawatan Raja Salman mencerminkan usaha berterusan pemerintah Arab Saudi itu dalam menggalakkan kerjasama ekonomi lebih luas antara kedua-dua negara.

Yang di-Pertuan Agong seterusnya bertitah peranan Raja Salman sebagai Penjaga Dua Masjid Suci memberi makna amat besar kepada dunia Islam seluruhnya.

Titah Seri Paduka, berjuta rakyat Malaysia telah mengunjungi Tanah Suci dan mereka yang pulang sentiasa memuji usaha kerajaan Arab Saudi diterajui Raja Salman untuk meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan jemaah.

“Beta berasa amat bersyukur mendengar khabar gembira akan limpah perkenan tuanku untuk meningkatkan kuota haji bagi rakyat Malaysia pada tahun ini,” titah Seri Paduka.

Tabung Haji pada bulan lepas menyatakan kuota jemaah haji Malaysia dikembalikan kepada 27,900 orang tahun ini berbanding 22,230 sebelum ini.

Mengimbau sejarah persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara, Sultan Muhammad V bertitah Arab Saudi merupakan negara yang telah menghantar wakil sewaktu pengisytiharan kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957.

“Sesungguhnya sejak 60 tahun dahulu, negara Malaysia dan Arab Saudi telah menikmati hubungan persaudaraan yang akrab bertunjangkan kepada perkongsian nilai kepercayaan serta visi dalam mempromosikan perpaduan da­lam kalangan negara,” titah Seri Paduka.

Sultan Muhammad V menyifatkan lawatan Raja Salman memberi makna besar dalam mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

“Beta juga berhasrat mengadakan kunjungan balas ke Arab Saudi,” titah Seri Paduka.

Raja Salman diberi sambutan negara di Dataran Parlimen pagi tadi.

Raja Arab Saudi itu disambut Najib sejurus pesawat khas yang membawa pemimpin negara Timur tengah itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang.

Raja Salman dan Najib dijadual mengadakan pertemuan di Putrajaya esok. – BERNAMA