Program anjuran Mood Republik yang bermula semalam dan berakhir esok telah menghimpunkan lebih 600 jenama popular tempatan antaranya Aidijuma, Sugarscarf, Jubah Souq, Tudung People, Alfio Raldo, Naelofar Hijab, Furby and Sugar, Jelita Sara dan Anggun Zara.

Penganjur Mood Republik, Kimi Iskandar Ismail berkata, rata-rata pengunjung mengambil kesempatan datang pada hujung minggu bagi membeli keleng­kapan raya memandangkan hari biasa mereka sibuk bekerja.

“Contohnya pada hari ini, kita boleh lihat pengunjung dari pelbagai peringkat umur sanggup berasak-asak untuk mendapatkan pakaian raya yang menjadi idaman masing-masing.

“Hari pertama pengunjung yang datang telah melebihi sasar­an sebanyak 300,000 orang. Oleh itu, jangkaan pengunjung satu juta dalam tempoh tiga hari pasti akan tercapai,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Kimi Iskandar, PWTC dipilih sebagai lokasi kali ini di­sebabkan ia merupakan tempat strategik kerana mempunyai kemudahan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT), bas dan komuter yang memudahkan dan memberi keselesaan kepada pengunjung untuk datang ke situ.

Beliau berkata, festival tiga hari itu turut menawarkan hadiah lumayan berupa sebuah kereta Mercedes SLK 200 bagi pengunjung yang membuat pembelian seba­nyak RM197 di satu vendor.

“Bagaimanapun, pengunjung terlebih dahulu harus mendaftar di kaunter yang disediakan. Pemenang akan diumumkan me­lalui Instagram kami iaitu moodrepublik pada hujung tahun ini.

“Selain itu, orang ramai berpeluang menemui artis kesayangan mereka seperti Neelofa, Ayda Jebat, Didie Alias, Afdlin Shauki, Mira Filzah dan Saharul Ridz­wan,” katanya.