Mohamad Ridzuan Mohamad Noor, 28 , berasal dari Kampung Kemumin, Pengkalan Chepa di sini berkata, dengan pendapatannya yang bekerja sebagai Kedi Golf, sukar untuknya membaiki rumah sendiri dan pendapatan hanya cukup untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

Menurutnya, kediaman tersebut adalah rumah pusaka yang pernah terbakar kira kira 10 tahun lalu.

“Ekoran dengan kebakaran itu, saya hanya baiki rumah dengan mengunakan batu bata sahaja yang diikat sendiri. Namun, keadaan rumah kami masih daif dengan serba kekurangan.

“Saya bersyukur dengan bantuan ini dan ia amat memberi keselesaan kepada anak saya untuk tinggal dengan keadaan lebih baik, “ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, isterinya, Zaleha Abdullah, 44 , yang bekerja sebagai pembantu asrama Tahfiz Al- Alamin, Tanjong Emas berkata, dia bersyukur mendapat kediaman yang sempurna kerana sebelum ini rumahnya bocor, tidak mempunyai tandas dan lantai berlubang.

Sementara itu, Ketua UMNO bahagian Pengkalan Chepa, Zaluzi Sulaiman berkata, pihaknya menghargai kerjasama daripada pihak KKMM dalam memilih dua buah rumah dari Parlimen ini untuk diperbaiki dengan peruntukkan sebanyak RM11,000 setiap sebuah.

“Telah menjadi keutamaan pihak kerajaan untuk membantu golo­ngan memerlukan serta kurang mampu.

“Kita harap dengan program ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk menikmati kehidupan lebih selesa bersama keluarga, “ ujarnya. - UTUSAN ONLINE