Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, penggunaaan asik borik sebagai bahan pengawet dalam makanan adalah dilarang di bawah di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurut beliau, asid borik merupakan bahan antiseptik, pestisid dan fungisid yang lemah.

“Ia selalunya digunakan untuk kawalan serangga, sebagai bahan pengawet kayu dalam industri perabut, industri kaca dan juga digunakan dalam bidang perubatan.

“Di bawah subseksyen 13(1), Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai artikel yang ditulis oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris bertajuk “We don’’t use boric acid in our rice dumplings, say sellers” yang disiarkan pada 29 Mei lalu.

Jelas Noor Hisham, pihaknya sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan ke atas penggunaan asid borik dalam makanan.

“Kami akan terus meningkatkan pemantauan ke atas makanan di pasaran tempatan bagi memastikan makanan adalah selamat,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham berkata, dalam tempoh antara tahun 2010 sehingga 2014, sebanyak 4,701 sampel pelbagai jenis makanan telah dianalisis dan didapati 90 (1.9%) daripada sampel makanan tersebut mengandungi asid borik seperti mi kuning dan bak chang.

Pengguna yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. - UTUSAN ONLINE