Beliau berkata, pembangunan kedua-dua aspek tersebut perlu diberi tumpuan bagi membangunkan kawasan luar bandar secara menyeluruh dan memberikan manfaat kepada penduduk tempatan.

“Dari segi pembangunan banyak kawasan luar bandar seperti di Sabah, Sarawak dan sesetengah perkampungan Orang Asli di Semenanjung yang masih ketinggalan dan belum mempunyai kemudahan asas seperti air dan sebagainya.

“Bagaimanapun, pembangunan fizikal sahaja tidak mencukupi, kita juga akan tingkatkan program ekonomi dengan kerjasama agensi Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi membangunkan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi taklimat di kementerian baharunya di sini hari ini.

Yang hadir sama, kedua-dua Timbalan Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ibrahim Muhamad.

Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa lalu portfolio Ismail Sabri yang sebelum ini sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ditukar kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi menggantikan tempat Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang digugurkan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, buat masa sekarang beliau akan meneruskan setiap program yang telah diatur dan dirancang oleh kementerian serta menteri terdahulu.

Katanya, beliau melihat kementerian tersebut lebih besar berbanding kementerian yang diterajuinya sebelum ini, namun dari segi tanggungjawab tugas di kedua-dua kementerian terbabit tidak jauh berbeza.

“Dari segi tanggungjawab tidak berbeza kerana fokus kita adalah untuk membangunkan masyarakat luar bandar sama seperti ketika di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani cuma tugas di kementerian baharu ini lebih luas dan merangkumi bukan sahaja pembangunan fizikal malah ekonomi penduduk luar badar.

“Pembangunan ekonomi pula lebih menjurus kepada peluang pendidikan yang terletak di bawah program pembangunan usahawan Mara,” katanya.