Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun media cetak dan media elektronik berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya media sosial, media arus perdana tetap memainkan peranan yang penting kepada rakyat.

Saya sendiri selalu bertemu dengan media, banyak yang perlu dilaporkan seperti program KKLW jadi peranan media sememangnya amat penting.

Cabaran media cetak dan elektronik semakin besar terutamanya berhadapan dengan media sosial dalam membezakan fitnah dan palsu atau yang benar tapi saya yakin pengamal media takkan terpengaruh dengan media sosial kerana mempunyai etika tinggi,: katanya selepas merasmikan Malam Media KKLW 2017, di sini malam ini.

Antara pemenang yang merangkul anugerah khas media ialah Nurulhuda Abd. Aziz dan Norsham Mohd. Noor dari TV3 dalam kategori Media Elektronik Penyiaran TV (Berita/Rencana dan Dokumentari) manakala Kurniawati Kamarudin dari Bernama memenangi kategori Media Cetak dan Portal Berita Online (Berita dan Rencana).

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia, Datuk Dr. Chamil Wariya; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Tambahnya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus membiayai lima pengamal media yang berminat untuk melanjutkan pengajian peringkat pasca siswazah.

Tahun lepas kita ada mengumumkan lima tempat untuk pengamal media melanjutkan pengajian peringkat pasca siswazah tetapi tidak dapat diteruskan kerana kekurangan bajet.

Alhamdulillah dalam pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan 2.5 bilion untuk Mara, jadi setakat ini dua orang sudah memohon, tinggal tiga lagi tempat dibuka untuk pengamal media, ini sebagai tanda terima kasih kepada media," katanya.