Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk saingan daripada media sosial, media arus perdana sedia ada sama ada media cetak atau elektronik tetap mempunyai integriti tinggi serta tetap mempertahankan etika kewartawanan mereka.

“Kita perlu akui, masyarakat hari ini terutamanya anak-anak muda tidak lagi bergantung maklumat daripada media arus perdana sebaliknya mereka menjadikan media sosial sebagai sumber maklumat mereka. Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di seluruh dunia.

“Banyak cabaran lain yang perlu dihadapi oleh media arus perdana termasuk dari segi pe­nurunan jualan akhbar namun percayalah akhirnya nanti masyarakat tetap perlu membuat keputusan sama ada ingin memi­lih media sosial yang lebih ba­nyak menyebarkan berita palsu atau media arus perdana yang mempunyai etika tinggi untuk me­nyiarkan berita dan maklumat yang benar,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis Malam Media KKLW 2017 di sini kelmarin. Yang turut hadir, Ke­tua Setiausaha kementeriannya, Datuk Borhan Dolah dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr. Cha­­mil Wariya.

Tambahya, penganjuran majlis Malam Media KKLW tersebut bukan sahaja mahu menghargai pe­ranan dan sumbangan yang telah diberikan tetapi turut memberi ruang dan peluang untuk menge­ratkan hubungan antara pegawai-pegawai serta kakitangan KKLW serta agensinya dengan pihak media.

“Kebiasaannya saya atau timbalan-timbalan saya yang sering berurusan dengan pihak media, jadi saya berharap maj­lis seperti ini dapat terus merapatkan silaturahim antara ka­kitangan kementerian serta agensi dengan para wartawan yang hadir dari pelbagai agensi media,” katanya.

Dalam majlis tersebut juga, beberapa anugerah khas diberikan kepada media menerusi kategori Media Cetak dan Portal Berita Dalam Talian (Berita dan Rencana), Media Elektronik Penyiaran (Radio), Media Elektronik Penyiaran (Televisyen) serta anugerah kategori Fotografi. Para pemenang ma­sing-masing membawa pulang hadiah wang tunai, trofi serta sijil. Kesemua karya pemenang tersebut telah dinilai dengan kerjasama pihak MPI.

Turut disampaikan ialah ha­diah bagi pemenang-pemenang pertandingan Motor Treasure Hunt yang telah disertai lebih 100 peserta terdiri daripada 13 pasukan media dan 10 pasukan daripada KKLW serta agensinya.

Dalam pada itu. Ismail Sabri memberitahu, KKLW menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan membiaya lima orang pe­ngamal media yang berminat untuk melanjutkan pengajian pe­ringkat pasca siswazah.

“Sebelum ini KKLW ada me­ngumumkan lima tempat untuk pengamal media melanjutkan pengajian peringkat pasca siswazah tetapi perkara itu tidak dapat diteruskan kerana masalah kekurangan peruntukan.

“Namun Alhamdulilah, dalam pembentangan Bajet 2018 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada me­ngumumkan peruntukan RM2.5 bilion untuk MARA, jadi tawaran untuk media sebelum ini dibuka semula. Setakat ini dua orang sudah memohon, dan tinggal tiga lagi tempat dibuka untuk pengamal media sama ada mereka ingin menyambung pengajian secara separuh atau sepenuh masa. Ini sebagai tanda terima kasih kepada media,” katanya.