Presiden KKFVA, Chua Soon Min berkata, pemilihan TV OKEY untuk program tersebut bersesuaian dengan penggunaan bahasa tempatan Sabah dan Sarawak yang digunakan rangkaian televisyen itu.

“Kami telah berbincang mengenai perkara ini semasa mengadakan lawatan rasmi ke RTM baru-baru ini dan bertemu Pemangku Pengarah RTM Sabah, Malinaziah Datu Mohd. Julaspi.

“Mereka nyata berminat dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh KKFVA. Banyak juga idea yang diketengahkan dalam pertemuan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Soon Min berkata, ahli KKFVA gembira dan menyambut baik kerjasama itu yang dianggap sejajar dengan usaha RTM dalam membantu menggembangkan industri seni dan kreatif di Sabah.

Selain itu, beliau juga percaya bahawa saluran TV OKEY dapat menjadi platform terbaik bagi ahli KKFVA untuk pergi lebih jauh dalam industri seni kreatif tempatan.

“Pelancaran TV OKEY datang tepat pada masanya kerana penyiaran digital adalah cara ke hadapan dalam pembuatan filem dan video, terutamanya dalam usaha kami untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi dan segar.

"Kami berminat untuk menyumbang kandungan rancangan ke TV OKEY kerana kami mempunyai bakat yang hebat dalam industri seni selama lebih sedekad,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE