Presiden KJAM, Mu­ham­mad Illaham Ishak berkata, beliau bersyukur kerana ahli kelab termasuk dirinya berjaya sampai ke puncak gunung tertinggi di Amerika Selatan itu sekali gus membawa makna besar dalam kempen #climbforpeace dan #waterforsyria.

“Pendakian ini dianggap mencabar selepas Gunung Everest kerana ketinggiannya kira-kira 7,000 meter, iaitu kurang 1,000 meter untuk paras pendakian yang amat berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas beliau bersama kumpulan pendakinya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Tiga pendaki lain yang berjaya ke puncak Gunung Aconcagua adalah Wan Azman Wan Mahmud, 39; Zainudin Lot, 40 dan Ayob Yahya, 53.

Menurut Muhammad Illaham, kejayaan mendaki Gunung Aconcagua bukan mudah dicapai kerana banyak kumpulan-kumpulan pendaki Malaysia yang gagal sebelum ini.

“Kami juga berbangga dengan kejayaan ini kerana dapat mengibarkan bendera Malaysia di puncak tertinggi di benua Amerika Selatan bersempena 60 tahun kemerdekaan Malaysia,” katanya.

Beliau memberitahu, de­­­ngan kejayaan terbaru itu, hanya tinggal dua puncak yang akan diburu kumpulan tersebut iaitu Gunung McKinnley di benua Amerika Utara dan Gunung Vinson Massif di Antartika.

Sebelum ini, kumpulan pendaki tersebut telah berjaya menawan Gunung Everest yang merupakan puncak tertinggi di benua Asia, Gunung Kilimanjaro (Afrika), Gunung Elbrus (Eropah) dan Gunung Kosuizcko (Australasia).

Ekspedisi ke puncak Gunung Aconcagua merupakan misi ketiga #climbforpeace dan #waterforsyria selepas memorandum persefahaman an­tara KJAM dan Aman Palestin Bhd., termeterai April tahun lalu.

Kerjasama kedua pihak adalah untuk mempromosikan usaha mencari dana bagi membina telaga air bersih di kawasan terjejas di Syria akibat peperangan.

Segala sumbangan bo­leh disalurkan terus ke akaun Maybank Aman Pa­lestin, 562263010787.