Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dua program besar pada hari sama itu juga seolah-olah satu bentuk persaingan secara zahir antara kelompok yang memang jelas mahukan ICERD diratifikasi dengan kelompok yang menentang konvensyen tersebut.

"Jadi kita tunggu Sabtu nanti, siapa lebih ramai, yang menyokong atau menentang ratifikasi ICERD.

"Saya harap rakyat yang cintakan keamanan dan keharmonian yang telah Malaysia kecapi selama 61 tahun, yang mahu kekalkan keamanan ini mengikut acuan kita sendiri, bukan acuan barat supaya menyokong himpunan membantah ICERD," katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi salah seorang penceramah Forum Rakyat: Bahaya ICERD dan Masa Depan Malaysia di Kelantan Trade Centre (KTC), di sini semalam.

Selain Asyraf, forum tersebut turut disertai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pemikiran Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof. Datuk Mahamad Naser Disa.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka melancarkan sambutan Hari Hak Asasi Manusia 2018 anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada pagi Sabtu ini di Petaling Jaya.

Ini merupakan kali pertama Suhakam menganjurkan sambutan itu di kawasan terbuka dan Dr. Mahathir juga adalah Perdana Menteri pertama yang menghadiri program anjuran Suhakam itu.

Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi memberitahu, kira-kira 5,000 pemuda UMNO akan bekerjasama dengan Jabatan Amal Pas bagi memastikan #DaulatHimpunan812 berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini. - UTUSAN ONLINE