Perhimpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 bakal berlangsung beberapa jam sahaja lagi.

Pentingkah perhimpunan ini kepada orang Melayu dan Islam serta mengapakah beria-ia Pas dan UMNO serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bergabung untuk menyertainya?

Bagi mengulas mengenai perkara itu, wartawan SHARILFUDDIN SAARI dan MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB menemu bual Mursyidul Am Pas, DATUK HASHIM JASIN.

UTUSAN: Apakah kepen­tingan perhimpunan Kon­­vensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Se­gala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) #DaulatHimpunan812 di ibu negara, Sabtu ini?

HASHIM: Bagi Pas, ia adalah perhimpunan kesyukuran dan atas dasar bahawa ura-ura percantuman (kerjasama) antara dua musuh ketat orang Melayu iaitu antara UMNO dan Pas.

Saya melihat pihak tertentu amat gerun dengan perpaduan yang ditunjukkan antara UMNO dan Pas serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menyokong usaha perpaduan ini.

Oleh itu apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) melihat perkara ini, maka bagi saya mereka terpaksa menangguhkan (himpunan ICERD) dan kita sedar mengapa kerajaan berbuat demikian (tangguh). Kita tidak tahu kemungkinan konvensyen itu akan ditandatangani pada masa depan.

Atas dasar itulah, tidak cukup kalau kita duduk diam sahaja sebaliknya perlu memberi tekanan dengan meneruskan perhimpunan ini tetapi mengubah 'tajuk' daripada membantah kepada ke­syukuran. Kita berhimpun secara aman bukan hendak bergaduh. Ini terbukti menerusi beberapa perhimpunan membantah ICERD yang kita sertai sebelum ini, berjalan dengan baik. Saya juga berharap dan berdoa supaya peserta selamat pergi dan pulang. Kita mestilah mematuhi disiplin dan peraturan serta janganlah me­nimbulkan huru-hara dan sesuai dengan nama perhimpunan ke­syukuran bagi kita.

Apakah implikasi kepada perhimpunan ini?

Perhimpunan ini kalau dikumpul seberapa ramai yang boleh, mampu memberi pengajaran kepada musuh yang hendak melagakan antara orang Islam. Orang Melayu ini ibarat sarang tebuan, kita (sarang tebuan) tidak ganggu orang tetapi jangan pergi jolok, jangan kacau, nanti dia akan serang balik.

Itu hakikat sejarah perjuangan dahulu yang kita boleh lihat seperti perjuangan Tok Janggut dan pahlawan-pahlawan lain. Jihad kita tidak kacau orang tetapi jangan kacau kita, orang Melayu selama ini ter­kenal dengan kebaikan dan mereka juga mempunyai kesabaran dan had yang jangan cuba diusik.

 

Pada hari sama, Suhakam juga bakal menganjurkan perhimpunan yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Apakah komen Datuk?

Saya tidak pasti, apa yang dihasratkan oleh mereka (Suhakam) tetapi kalau ikutkan dasar yang disebut oleh Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak halang perhimpunan ICERD tetapi kalau dia buat satu lagi perhimpunan de­ngan tujuan lain seolah-olah mahu menghalang rakyat menyertai perhimpunan ICERD, terpulanglah kepada rakyat menilainya.

Saya tidak pasti berjaya atau tidak perhimpunan yang mereka cadangkan itu. Saya rasa adalah tidak bijak memilih perhimpunan tarikh yang sama. Mereka mungkin ada sesuatu yang dirancangkan atau cuba test market.

Ada dakwaan daripada sesetengah pemimpin khususnya orang Melayu sendiri bahawa perhimpunan itu tidak perlu dan membazir masa dan wang?

Saya geli mendengarkannya sebab ia datang daripada pimpinan PH sendiri, sedangkan merekalah yang menjuarai perhimpunan seperti ini dahulu. Alasan membazir adalah tidak munasabah sedangkan perhimpunan adalah roh dan semangat jihad pengorbanan yang ditunjukkan oleh agama.

Malah kita lihat pemimpin dahulu yang sanggup masuk penjara, ditahan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan tiba-tiba mereka ini cakap perhimpunan menghabiskan duit.

Dia tidak perlu nasihatkan orang berhimpun untuk pertahankan kesucian agama tetapi tegurlah orang yang perhabis (menggunakan) duit (dengan cara tidak betul).

Sememangnya Islam bergerak ke arah memberi hak (sama rata kepada bukan Islam) tetapi ada batasnya.

Adakah kerjasama Pas-UMNO akan menyebabkan sokongan bukan Melayu terhadap parti ini terhakis?

Saya bersama Pesuruhjaya Perlis ada berjumpa Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Terengganu baru-baru ini dan dia sendiri melahirkan rasa kurang senang apabila penyatuan UMNO dan Pas, akan menyebabkan orang India yang dahulu ada hati dengan Pas akan tarik diri.

Kita sedar perkara itu, tetapi kalau kita memerintah secara jujur dan mengikut panduan agama, saya yakin kita mampu menarik bukan Islam kepada Islam.

Bukan seperti Parti Amanah Negara (Amanah) yang memperkenalkan konsep Rahmatan Lil Alamin, tetapi hanya sebut sahaja kerana apabila Islam cuba di­sentuh mereka senyap sunyi.Apa yang dilakukan itu akan membuka mata rakyat tidak ada parti yang boleh dipercayai kecuali parti Islam.