Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Ahmad Amzad Hashim berkata, Penasihat parti itu, Lim Kit Siang ternyata mengalami tekanan jiwa sehingga terpaksa memberikan pandangan tidak masuk akal itu, semata-mata mahu meraih kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Malah katanya, tindakan itu sekali gus menggambarkan Kit Siang amat malu dan kecewa apabila salam perdamaian yang dihulurkan kepada Pas beberapa bulan tidak disambut.

“DAP kelihatan semakin tertekan dan tidak tentu arah. Semua angkara kelakuan politik sendiri yang gopoh, ego dan rakus hingga menimpa parti mereka umpama senjata makan tuan.

“Durjana paling besar DAP kerana menyinggung hal ehwal berkaitan Islam dengan semarak keangkuhan dan memperalatkan segelintir pemimpin Islam lain yang diperkudakan dengan tawaran keduniaan dan memaksa pihak lain agar tunduk kepada kehendak mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Kit Siang menyatakan keyakinannya untuk pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang jika mereka mampu menawan penyokong akar umbi Pas tanpa mempedulikan Abdul Hadi dengan mendakwa Ahli Parlimen Marang itu tidak berminat untuk membanteras rasuah.

Kit Siang turut berkata, memenangi kawasan yang dimiliki Pas juga merupakan salah satu daripada lima sasaran yang perlu dicapai pembangkang jika mahu memenangi pilihan raya umum akan datang.



Amzad berkata, Kit Siang perlu sedar akar umbi Pas telah memberi isyarat padu menyokong penuh Presiden parti itu apabila DAP terlebih awal bertindak memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi, tetapi tidak dengan Pas.



Katanya, Pas semakin diterima dengan keahlian kian bertambah pesat, sedangkan DAP pula kehilangan pimpinan dan ahli-ahlinya.

“Mungkin merasakan Pas boleh ‘dibeli’ ketika itu melalui boneka-boneka tajaannya, ternyata meleset. Walaupun menubuhkan PAN dalam usaha untuk mematikan Pas, tetapi perkembangan menunjukkan sebaliknya.


“Maka terkulailah segala cita-cita DAP, malah semakin memporak-perandakan parti itu serta gabungan mereka setelah gagal memaksa Pas untuk bersama dengan nafsu mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE