Kisah itu dicerita kepada penyelidik Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma (BHRN) yang kemudiannya menyiarkan laporan bertajuk “Penganiayaan terhadap Umat Islam di Burma” mengenai kekejaman yang berlaku tahun lalu.

Laporan itu melibatkan lebih 350 wawancara dalam tempoh lapan bulan bermula Mac 2016, testimoni yang dikumpulkan daripada individu di lebih 46 bandar dan kampung seluruh Myanmar.

Menurut Bernama, laporan yang dikeluarkan semalam oleh pengasas dan pengarah eksekutif BHRN, Kyaw Win di sini, mempunyai bukti kukuh mengenai penindasan sistematik yang berterusan, yang tidak hanya terhad kepada etnik Rohingya tetapi juga kepada umat Islam lain di Myanmar.

Laporan itu dikeluarkan selepas satu lagi serangan pembunuhan tercetus di Rakhine yang menurut organisasi bantuan antarabangsa telah mengorbankan beratus-ratus nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.

Kekejaman itu yang didakwa dilakukan oleh ‘Tatmadaw’ atau tentera Myanmar juga telah memaksa lebih 100,000 warga Rohingya untuk meninggalkan rumah mereka yang musnah akibat dibakar.

Selain dokumenkan testimoni memperincikan kekejaman terhadap etnik Rohingya dalam operasi ketenteraan itu, BHRN juga merekodkan beberapa contoh, apabila umat Islam pelbagai etnik dinafikan hak untuk mendapatkan kad pengenalan atau dikenali sebagai Kad Pendaftaran Negara (NRC).

Menurut organisasi itu, umat Islam menghadapi banyak masalah ketika memohon NRC termasuk dinafikan hak dan keperluan melengkapkan dokumen yang sukar untuk diperoleh mengenai susur galur keluarga sebelum 1824.

Pihak berkuasa juga terus menyekat pembinaan semula masjid dan madrasah yang telah rosak, dimusnahkan atau ditutup dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Berikut petikan kisah dua pelarian dalam laporan BHRN itu.