Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 75 peratus merupakan mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah.

"Sempena Hari Pekerja pada hari ini, kami mahu kerajaan sentiasa mengambil perhatian terhadap keperluan penjawat awam iaitu memiliki kediaman sendiri selain kerajaan perlu memainkan peranan dalam mengawal harga dan menambah rumah mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja CUEPACS yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di sini hari ini.

Azih berkata, ada di antara penjawat awam yang sudah bersara, masih tidak memiliki rumah dan mereka terpaksa menyewa rumah sebaik tamat perkhidmatan.

"Bayangkan ada yang sudah bersara yang sebelum ini tinggal di kuarters kerajaan tidak memiliki rumah dan ada kakitangan kerajaan terpaksa tinggal dalam satu rumah yang turut didiami oleh dua tiga keluarga yang lain.

"Tanpa campur tangan kerajaan dalam menentukan harga rumah, pejawat awam tidak akan mampu memiliki rumah," katanya. - BERNAMA