Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, bagi yang mempunyai kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), mereka diberi tempoh dua tahun untuk mengambil kursus tambahan bagi melayakkan ke jawatan yang diperlukan.

Dalam usaha itu katanya, kementerian akan menawarkan kursus diploma kepada guru-guru yang belum mempunyai sebarang kursus tambahan bagi menaik taraf status mereka.

“Mungkin dalam enam bulan pertama kita akan serapkan (mereka) yang sudah cukup kelayakan diploma dan ada ijazah, tetapi yang lain-lain (tiada kursus) kita beri masa dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sebuah pusat kaunseling untuk orang ramai iaitu Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK Care Centre) di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini hari ini.

Fuziah pada Ogos lalu ketika sidang Dewan Rakyat memaklumkan Jakim sedang membuat satu kajian untuk menaik taraf status guru KAFA antaranya dilantik menjadi penjawat tetap dalam perjawatan.-UTUSAN ONLINE.