Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, kedua-dua kerajaan bersetuju supaya pihak yang dipertanggungjawabkan antaranya Kementerian Pertahanan kedua-dua negara, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Muslim World League akan menguruskan perkara itu bagi membolehkan pusat ber­kenaan dilancarkan dalam tempoh tiga bulan selepas pengumuman penubuhannya dibuat kelmarin.

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dalam mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lalu menyifatkan hubungan Malaysia-Arab Saudi berada pada tahap tertinggi dan turut mengumumkan penubuhan pusat itu di negara ini.

“Kedua-dua kerajaan bersetuju bahawa isu keganasan tidak sepatutnya dikaitkan kepada mana-mana bangsa, warna kulit dan agama.

“Lawatan Raja Salman selama empat hari ke negara ini telah menghasilkan sesi perbincangan yang membina dan berhasil antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi. Isu berkaitan dunia Islam merupakan aspek utama yang menjadi perbincangan termasuk situasi politik di Asia Barat, isu Palestin dan Yemen,” menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, kedua-dua pemimpin itu turut bertukar-tukar pandangan dalam prospek hubungan kedua-dua negara serta berbincang mengenai isu serantau dan antarabangsa sepanjang lawatan tersebut.

Kedua-dua negara turut bersetuju mengadakan lawatan pada semua peringkat bagi mengukuhkan hubungan bilateral dan kerjasama antara pegawai-pegawai kerajaan dan swasta.

Jelas kenyataan itu, Malaysia turut mengucapkan penghargaan kepada baginda yang merupakan Penjaga Dua Kota Suci itu atas usaha kerajaan Arab Saudi menguruskan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia.

“Raja Salman turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V; Perdana Menteri serta seluruh rakyat Malaysia atas sambutan baik sepanjang lawatan tersebut,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan tersebut memberitahu, hasil lawatan Raja Salman itu, Malaysia dan Arab Saudi turut menekankan kepentingan mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara termasuk meneroka peluang baharu dalam visi 2030 negara Arab Saudi.

“Selain itu, kedua-dua negara juga bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam bidang ketenteraan khususnya dalam aspek latihan dan pertukaran pengalaman ketenteraan.

“Malah, Malaysia dan Arab Saudi turut mengalu-alukan penglibatan Saudi Aramco dan Petronas dalam projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor yang akan menyumbang kepada hubungan ekonomi yang erat antara kedua-dua negara terutama dalam bidang tenaga,” jelas kenyataan itu lagi.