Presiden Kimma Kebangsaan, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, program tersebut termasuklah pemberian buku-buku rujukan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara percuma kepada para calon peperiksaan.

“Mereka kemudiannya akan menyertai kumpulan dalam talian terutama aplikasi WhatsApp bagi mendapat bimbingan berterusan daripada guru dan dipantau kemajuan pendidikan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Seminar Pelajar Prauniversiti (Spurs 2017) anjuran Biro Pendidikan EduKimma dengan kerjasama Yayasan SMS Deen dan Kelab Remaja Muslim Malaysia (MMYC) di sini semalam.

Hampir 600 pelajar anak India Muslim lepasan SPM dari seluruh negara menghadiri seminar sehari bimbingan dan motivasi sebagai persediaan memasuki universiti dan bidang pekerjaan.

Para peserta juga berpeluang untuk memiliki sebanyak 40 set komputer riba dalam acara nombor bertuah.

Dalam majlis itu turut dilancarkan Kumpulan Sukarelawan EduKimma bagi membolehkan anak-anak India Muslim terlibat dalam pelbagai kerja-kerja sukarela dan kebajikan di negara ini.

Syed Ibrahim berkata, Kimma juga bercadang memanggil tokoh-tokoh pendidikan dari luar negara di samping program masa depan yang bercorak 1Malaysia untuk tujuan interaksi dengan pelbagai kaum.

“Ini kerana Spurs menjadi wadah kepada para peserta meningkatkan lagi ilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab supaya anak-anak India Muslim dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lain,” katanya.

Beliau memuji dan menghargai sumbangan dari pelbagai pihak yang banyak membantu Kimma untuk meningkatkan taraf pendidikan anak-anak bangsa India Muslim di negara ini.