Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, cadangan pembinaan kilang yang digerakkan menerusi inisiatif swasta itu menjadikan Malaysia negara pertama mene­roka pasaran vaksin halal dunia.

Beliau berkata, pentauliahan status halal vaksin yang dikeluarkan oleh kilang ber­kenaan dibuat oleh badan farmaseutikal nasional.

“Saya dimaklumkan memang terdapat vaksin-vaksin halal yang sudah ada kajian mengenainya dan akan dibina juga di negara ini sebuah kilang vaksin halal pertama di dunia. Pembinaan kilang ini dalam proses.

“Sekiranya vaksin halal ini dapat dikeluarkan, saya ya­kin ia boleh memberi alternatif kepada ibu bapa yang mahukan vaksin halal,” katanya ketika ditemui pembe­rita selepas merasmikan acara La­rian Sepat di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan hanya kanak-kanak yang sudah menerima suntikan vaksin imunisasi dibenarkan memasuki sesi persekolahan.

Isnin lalu, akhbar melaporkan beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan I-Medik Malaysia menyarankan langkah itu dilaksana bagi melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria serta campak.

Kementerian Kesihatan juga dilapor menubuhkan pasukan bagi mengkaji cadangan mewajibkan suntikan vaksinasi terhadap kanak-kanak.

Langkah itu berikutan kementerian berkenaan mendapat 'desakan' kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan mewajibkan imunisasi vaksin ekoran keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

Dalam pada itu, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan memberitahu, terdapat dua pihak yang menolak suntikan vaksin iaitu golongan yang mempersoalkan status halalnya dan golongan lebih besar yang antivaksin.

Katanya, golongan antivaksin berkenaan adalah gerakan di peringkat antarabangsa yang menolak suntikan tersebut atas dasar hak mereka.

“Di sini peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk melihat kepada kemaslahatan ummah,” katanya.