Beliau memberitahu, itu penting bagi membolehkan setiap pemasalahan tidak didiamkan oleh kakitangan bawahan dan maklumat tepat diberikan agar dapat ditangani dengan usaha penambahbaikan yang kelak memberi manfaat lebih meluas kepada masyarakat.

"Kita nak ubah paradigma pemikiran bahawa 'bos sentiasa betul' yang pada saya adalah satu pandangan yang silap. Kita semuanya tidak sempurna.

"Kita kena kerja dalam satu pasukan dan setiap antara kita yang bermula dari bawah hingga ke Menteri Besar perlu ada dalam minda kita untuk sedia terima sebarangan pandangan.

"Ini kerana di sana ada perkara-perkara yang dikesan oleh anggota pentadbiran lain termasuk rakyat sendiri yang melihat kelemahan serta kekurangan bagi membolehkan penambahbaikan dibuat," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu 2018/2010 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini yang dihadiri seramai 194 pegawai tadbir seluruh negeri ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Wan Mohamad Wan Ibrahim; Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Zainal Abidin Hussin dan Pemangku Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Mat Kamarul Al-Amin Ismail.

Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa mengalu-alukan teguran daripada rakyat untuk memastikan hala tuju pentadbiran negeri dipacu dengan cara terbaik yang disulami kemesraan dan kasih sayang. - UTUSAN ONLINE