Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Bachok, Mohd. Saripudin Ishak, bayaran secara wang tunai sebelum ini memudahkan nelayan berbelanja untuk membeli barangan keperluan harian, kelengkapan ke laut atau menyelesaikan bil-bil tertunggak serta pinjaman dengan bank.

Sehubungan itu katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu mengkaji semula cadangan pelaksanaan kad pintar terhadap ESHN yang dikatakan hanya terhad untuk membeli barangan keperluan harian.

"Apabila laut bergelora ketika musim monsun timur laut, nelayan tidak dapat mencari rezeki selama tiga bulan dan mereka selama ini bergantung sepenuhnya terhadap ESHN yang dibayar secara tunai untuk membeli barangan keperluan harian.

"Duit ini juga digunakan untuk bayar bil dan pinjaman bank serta lunas hutang beli pukat atau enjin bot dengan peniaga," katanya, di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, kerajaan bercadang menggunakan kad pintar bagi menyalurkan ESHN yang sebelum ini dibayar secara tunai, mulai tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohd. Saripudin berkata, sepanjang tempoh tiga bulan kehilangan sumber pendapatan, para nelayan tidak mempunyai wang untuk membayar sewa rumah dan terpaksa menangguhkan bayaran.

Katanya, wang ESHN yang dibayar secara tunai sedikit sebanyak berjaya meringankan beban mereka melunaskan tunggakan sewa rumah.

"Kami gembira mendapat tahu akan ada belanjawan tambahan dan berharap kerajaan dapat umumkan sesuatu yang amat bermakna kepada golongan nelayan. Sebaik-baiknya, kerajaan wajar teruskan sahaja ESHN seperti sebelum ini.

"Selama ini, kami berasa lega ESHN diwujudkan dan amat berharap kerajaan baharu melaksanakan pendekatan yang lebih cemerlang tanpa menangguhkan pelaksanaannya," katanya. - UTUSAN ONLINE